GAGASAN NALURI

Thursday, June 29, 2006

PELAYARAN edisi khas

Belum pun sempat menyelami dengan lebih dalam lagi pelayaran episod II , edisi khas ini akan mengutarakan bertapa pentingnya kita mengingati akan kematian dan sesungguhnya kita memang di tuntut untuk mengingati mati.
Apabila tiba saatnya setiap makhluk tidak akan dapat lari dari kematian. Melihat orang yang terdekat menghembuskan nafasnya buat kali pertama adalah satu-satunya pengalaman yang sangat berharga dan tidak mungkin dapat di lupai. Apa yang bermain dalam benak fikiran ialah bagaimana pula kiranya yang terbujur itu, yang kaki sejuk terlunjur itu, yang perut berombak seperti digodak itu, yang jari-jari tangan sejuk dan membiru itu, yang dada kembang-kuncup itu, yang kepala turun naik menarik nafas itu, yang mata tertutup dan seolah-olah memandang ke atas itu adalah diri kita?
Dalam pelayaran yang kita harungi ini kita tidak akan dapat mengelak dari tiba ke perlabuhan ini ia itu perlabuhan yang di panggil sarakatul maut. Berbagai cara untuk sampai ke perlabuhan ini yang kita sendiri tidak dapat bayangkan, namun tidak mustahil kita dapat mengemudinya dengan baik sekiranya perkara-perkara pokok dalam manual pelayaran dan pengemudian kita patuhi dengan penuh rasa tanggungjawab.
Di antara titik permulaan pelayaran sehingga tibanya kita ke perlabuhan ini banyak perkara yang mungkin kita telah tempuhi. Adakah kita dalam masa itu kita sempat mengumpulkan setiap bekalan yang perlu untuk kita mengharungi episod pelayaran yang seterusnya yang lebih mencabar dan penuh dengan persolaan yang wajib dijawab dengan tepat kerana pelayaran seterusnya adalah lebih kepada pelayaran hakiki yang menentukan ke daerah manakah kita akan berhenti untuk selama-lamanya.
"1. Apabila berlaku hari kiamat itu, 2. Tiada sesiapa yang dapat mendustakan kejadiannya. 3. Kejadian hari kiamat itu merendahkan (golongan yang engkar), dan meninggikan (golongan yang taat) 4. (ia berlaku) semasa bumi bergoncang dengan sesungguh-sungguh goncangan. 5. Dan gunung-ganang dihancur leburkan dengan selebur-leburnya, 6. Lalu menjadilah ia debu yang bertebaran, 7. Dan kamu pula menjadi tiga puak( yang berlain-lain keadaannya). 8. Ia itu puak pihak kanan- alangkah bahagianya keadaan puak pihak kanan itu? 9. Dan puak kiri-alangkah seksanya keadaan puak kiri itu? 10. Dan (puak ketiga pula ialah) orang yang telah mendahului ( dalam mengerjakan kebaikan di dunia)- yang mendahului (mencapai balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak) 11. Mereka itulah orang yang didampingkan (di sisi Allah), 12. (Tinggal menetap) di dalam syurga-syurga yang penuh nikmat. 13.(Di antaranya) sekumpulan besar dari umat-umat manusia yang terdahulu; 14. Dan sebilangan kecil dari orang yang datang kemudian. 15. (Mereka duduk di dalam syurga itu) di atas takhta-takhta kebesaran yang bertatahkan permata; 16. Sambil berteleku di atasnya dengan berhadapan-hadapan." Ayat 1-16 Surah AlWaqiah
Petikan surah tersebut di atas adalah untuk dijadikan sempadan dalam pelayaran kita ini. Puak mana kah kita kini? Sama-samalah kita berusaha untuk menempatkan diri kita di dalam golongan puak kanan...InsyaAllah.
bagindo

Monday, June 26, 2006

PELAYARAN II


Dalam melayari pelayaran ini, kita perlu melihat dan merenung kembali siapakah diri kita? Mengapa kita dijadikan dan dihidupkan di dunia yang dari hari kesehari sentiasa mengancam kehidupan kita dan mengganggu gugat perjalanan serta pelayaran kita ini. Siapakah yang menjadikan kita dan mengapa kita perlu mengaharungi pelayaran ini.
Begitulah persoalan-persoalan yang perlu kita ajukan kepada diri kita. Persoalan-persoalan tersebut perlulah kita jawab dengan penuh keikhlasan dan sesungguhnya jawapannya telah tersedia di dalam jiwa kita.
Bermacam-macamlah dugaan yang kita akan dan telah hadapi dalam perjalanan dan pelayaran yang kita tempuhi ini. Samada kita sedar atau tidak kita tidak boleh lari dari ancaman yang disediakan untuk menguji kita sejauh manakah ketaatan kita terhadap pencipta kita yang Maha Agong. Di antara dugaan yang besar ialah harta dunia.
"Dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka dari memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka, dan sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada) di belakang mereka (pada hari kiamat). Lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar)" ayat 9, Surah Yaasin
bagindo

Saturday, June 24, 2006

PELAYARAN

Apakah sebenarnya erti kehidupan ini? Bagaimanakah kehidupan ini dapat di nilai dan siapakah sebenarnya yang menilainya. Anak-anak kecil yang hidup sama sekali tidak akan mengerti apakah itu kehidupan itu. Adakah ibubapa mereka pencorak hari muka atau siapa yang sebenarnya yang menjaga hati-hati manusia ini. Siapa yang memupuknya untuk menjadi insan kamil yang mengerti akan kebenaran atau adakah ianya akan menjadi manusia yang menzalimi manusia itu sendiri di atas tindak tanduknya yang di kuasai oleh berbagai-bagai pengaruh keduniaan.
Mengapa manusia itu yang dilahirkan mempunyai fitrah kemanusian akhirnya menjadi perosak di muka bumi ini. Kita akan terus membincangkan hal ini sehingga kita dapat menjiwai serta merasai bertapa mulianya kejadian manusia dan alam ini tetapi sayang manusia dari hari kesehari lupa dan alpa sehingga dihanyutkan dalam kekalutan hidup yang tiada peraturan walaupun peraturan itu telah dibentangkan seluas-luasnya.
Bagindo